Cari2 D' MyHeart

Loading

Monolog Seorang Aku..













Kebelakangan ini
Dunia dari perspektif mata
Menyudah konklusi begini
Dunia seolah tidak lagi indah
Semacam ada paksa
Untuk mendepan sejuta duga
Semacam tidak ikhlas
Macam api dalam sekam gitu
Membara lalu membakar
Entah lah sampai bila
Rasa-rasa ini terasa
Mungkin sampai menutup mata??

Cemburu rasanya
Pada anak-anak yang ria tertawa
(terasa tua...oh!)
Andai saja tidak berganjak masa
Aku mahu jadi budak selamanya
Nikmati hidup tanpa susah-sengsara
Buat sehabis suka-suka gila-gila
Tentu bahagia
Tentu sekali gembira!

Hey!! Kau gila ya?
(Sinis gema suara-dari mana?)
Apa lagi kau mahu?
Jadi remaja?
Kekal muda?
Kekal kaya?
Hidup selama?
Kau tahu saudara ku
(mengajuk-bertanya atau perli??)
Itulah idea syaitan laknatullah
Kau kini sedang dipujuk
Sedang dibujuk dirayu
Untuk bersama-sama nya
Di...di..di neraka sana!
(hahaha - ketawa atau menangis?)
Kau suka neraka??
Semua orang suka syurga lah
(sinis)


Kau lupa saudara ku
Yang suka itu
Kawan bersama duka
Yang susah itu
Senang teman nya
Yang muda itu
Si tua sahabat nya
Dan yang harus kau ingat
Yang pasti adalah MATI!

Jangan pernah berhenti
Berbicara la dengan aku
Aku lah jiwa mu yang suci
Aku sinis
Aku rewel
Tidak suka pada suka-suka
Tapi aku sangat sayang kamu
Cinta kamu
Tidak mahu kamu binasa
Oleh terang yang gelap
Kerana kamu adalah aku
Aku adalah kamu
Dan...
Ini monolog kita
Untuk muhasabah.

® MyHeart - Disember 12, 2011. 
read more

Seksa Secalit Resah...













Pergi lah..
Pergi lah..
Pergi lah resah jauh-jauh
Jangan datang lagi..
Seksa yang menjeruk rasa
Berhari-hari..
Pedih..
Sangat pedih..
Menghukum emosi
Menyeksa setangkai hati
Tanpa henti
Ini itu tak kena
Mengikat langkah
Terlalu berat hukum nya
Hampir tidak berdaya
Selepas semalam
Munajat doa ditadah
Resah tidak diundang
Tidak lagi bertamu
Hingga bikin kelabu
Bikin haru-biru!
Kesian emosi
Didera sengsara
Kesian hati
Dihuni kacau-bilau
Mujur masih ada akal
Sudi memujuk
Kesekian kudrat
Dan paling besar
Ada limpah kasih
Dari Nya Ya Ilahi
Kerana
Sakit itu sayang
Pedih itu hikmah.

® MyHeart - Disember 12, 2011. 
read more

BMT














Penantian mengikat waktu
Apa daya ku
Cuma menunggu
Terus menunggu
Bermusykil-musykil dalam kalbu
Lantas bersungguh
Bisik syaitan berseru
Diusir jauh-jauh
Belum pun sudah soaljawab berlagu
Di mulia hari segala penghulu
Berjawab tentu
Ini bingkisan itu
Dari sebutir bintang yang jitu
Dari kamu
Yang berjuang dalam seni berliku
Duka suka yang berlaku
Dalam kocek pena mu
Dari hamparan maya ke sebuah buku
Hingga sampai ke pangkuan ku.

 ® MyHeart - Disember 9, 2011.

p/s - Terima kasih En Zahiril. Semoga awak sukses selalu. Semoga bahagia di dunia dan di akhirat.
read more

Resah...










Dingin subuh
Membuai jiwa tersendu
Dalam bahasa pilu
Siapa tahu
Apa yang bertamu
Resah berlagu
Nun jauh disudut kalbu
Semakin kelabu
Jalan tak ketemu
Hari yang berlalu
Mengusir tinggalan waktu
Hampir ke destinasi itu.
 
® MyHeart - Disember 9, 2011.
read more

Puisi Si Rama-Rama...









Arakian waktu pun berlalu
Mekar la si rama-rama
Dari jelek kepompong ulat
Mengepak sayap menggapai bintang
Demi menimba ilmu baru
Di dalam belantara batu
Yang indah seumpama syurga
Syurga dunia ranum tafsir nya
Bebas mencari bebas memilih
Mungkinkah madu
Mungkinkah racun berbisa
Tiadalah ia tahu
Bahkan tiada tertolak bujukan nafsu
Punah ditawan si mawar berduri
Dipandang indah disentuh terluka
Samar jerangkap lupa dikisah
Akhirnya pudar jelita si rama-rama
Tercemar jua warna-warni sayap nan indah
Tersungkur hina tiada lagi dapat bermegah
Di taman belantara batu-batu
Tinggallah si rama-rama
Hanya pada nama.

® MyHeart - Disember 7, 2011.
read more

Puisi Tentang Kami Dan Dia...









Kami dan Dia serumpun
Dari perut ibu yang sama
Di tanah bertuah
Kami dan Dia bercambah
Dari dua kepada tiga
Lalu menjadi suku-suku
Tak terbilang banyaknya
Tiga terbesar duduk bersama
Di bawah payung janji setia
Tika laungan merdeka
Di kala penjajah akur melepas mahkota

Kami setia menyusuri sejarah
Biar seribu-ribu puluh kilometer
Dipisah laut didiami pentas sunda
Di sekolah meski tak sampai U
Kami tahu di mana Ibu Kota
Di mana laungan bergema merdeka
Siapa bapak nya
Malah tahu siapa orangnya
Tahu juga budi dan bahasanya

Sayangnya
Kami terguris kala ketawa
Kami terluka kala bersenda
Katanya serumpun
Tapi umpama tak sebahasa
Kerap jua serong dimata
Padahal Kami dan Dia juga sama
Berbeza tak mengapa
Tapi jangan dibeza
Seolah hina
Kadang dicerca

Bukan rasis bunyi nya
Cuma terkesima
Kala mendengar Dia gah berbicara
Tidak tahu kami disini guna matawang apa??
Tidak tahu kami disini juga dalam rahim yang sama??
Tidak tahu apa-apa sejarah Kami??
Rupanya Dia masih tidak tahu diseberang sana
Di bawah itu bayu
Adalah naungan bersama
Apakah masih cetek ilmunya?
Apa betul kalau belajarnya cuma sekadar angka
Patutlah tidak tercerna ilmu didada
Salah siapa?
Kami atau Dia?
Mungkin juga salah Kita..

® MyHeart - Disember 6, 2011.
read more

Kisah Si Polan Yang Lemah...










Kata mereka membuka aib perkara biasa
Memang layak si polan dianiaya
Kan si polan itu jahil juga
Buruk laku tiada juga berbudi bahasa

Mengalirlah laju segala ceritera
Apa benar atau auta tiada dikisah
Ke pelusuk buana
Bahan halwa telinga suku sakat sekepala

Tiadalah dapat si polan berkata-kata
Lemah ia tiada berdaya
Seraya berserah pada pencipta
Limpahkan rahmat pada mereka

Tidak pula si polan meminta-minta
Diturun bala atau bencana
Kerana mereka jua saudara seagama
Kelak di Mahsyar bertemu jua.

® MyHeart - Disember 6, 2011.
read more

Nota Biru...










Nota biru biru biru
Berlegar sekitar nafsu rakus mu
Saban hari semenjak surut saku
Wangian nya kian menusuk jauh ke dalam kalbu
Menyesaki rongga-ronga akalmu
Bila pula kan memenuhi kantung serakahmu
Yang tidak pernah puas mengemis!
Kerana nya apa pun sanggup kau tepis
Putus saudara?
Menjual anak bangsa?
Melelong warisan pusaka?
Ahhh siapa peduli itu semua
Zaman ini nota biru itu adalah penguasa
Ilmu penunduk segala manusia
Lagi banyak kau miliki lagi tinggi derajat tahi
Siapa peduli??
Kerana kau tahu
Tahi pun akan harum dan suci
Jika 'dicuci' oleh nota biru!

® MyHeart - Disember 2, 2011.
read more

Tangis Langit Langit Menangis ...













Tangis langit langit menangis
Membawa duka pasangan suka
Bukan suka-suka

Turun seribu rahmat
Di luar batas akal insani
Dari Ya Rabb

Kadang tangis manja gerimis membuai
Kadang rajuk hiba mendung sekadar melambai
Kadang marah sekalian bah datang membadai

Tangisnya berbeda
Di desa syahdunya menusuk rasa
Di kota pilunya menghambat jiwa

Tangis langit sukar reda
Selagi hiba bertamu di dada
Langit nan biru kan terus kelabu.

® MyHeart - Disember 2, 2011.
read more

Makhluk Aneh...













Aneh makhluk ini
Ke hadapan mundur
Ke belakang tertinggal
Bergaya meskipun papa
Antara bijak paling bodoh
Antara cantik paling hodoh
Dia hidup dek puji
Segera mati dek keji
Iri hati teman sejati
Mudah lupa perangai asli
Kasihan mereka
Belum bersatu sudah berpecah
Retak menanti belah
Pasti berulang sejarah lama
Tersungkur derita di tanah bertuah.

® MyHeart - Disember 1, 2011.
read more

Tandus Tidak Berkambus...














Selang lama purnama berlalu
Berganti musim seru menyeru
Dari panas ke hujan
Pagi ke petang
Siang langsung bertirai malam

Masih sepi si kerdil pena
Di takluk kekang penguasa masa
Apa terdaya
Kudrat cuma satu
Nafas juga satu

Serasa tandus hamparan maya
Di kunjung tak tiba
Di usir berdiam juga
Di kambus juga tak bisa
Oh...masih bernadi rupanya nyawa.


MyHeart.
24.11.2011 / 1617hrs
read more

Arjuna Ku...











Arjuna ku...
Saat jemari merenyam kekunci
Minda tulus mengatur bahasa
Selayak perlu untuk dimengerti
Sesungguhnya aku tidak membenci

Arjuna ku...
Mana lagi harus ku cari
Setulus budi berjuta kasih
Seperti cinta yang dikau beri
Walau sekoyan harta duniawi digalang-ganti

Arjuna ku...
Jiwa ini bukan patah
Hati ini masih setia
Tapi diri ini terkurang segala
Sementelah jua rasa berbeda

Arjuna ku...
Luah semalam bukan kecewa
Tapi pendaman rasa sekian lama
Jika bernokhtah kasih kita
Pasti rencana terkandung hikmah

Arjuna ku..
Meski nanti kita menjauh
Kan terus kutitip secebis doa
Mukim bahagia terus menaungi mu
Selama dan selalu.

MyHeart.
22.11.2011 / 1255hrs
read more

Ranum Ramadhan..














Fajar harum, bermula salam dalam udara
yang mengkhusyukkan. Semuanya tiba
terhampar dalam sepi bermusim sabar:
Hati dan budi didakap tulus oleh solat,
dalam gementar yang sentiasa syahdu.
Dalam nafas jerih bulan paling jernih.

Amalan puasa mencabar dan mengajar.
Terlimpah sepadat makna yang perih;
kita belajar dari derita yang pedih;
dan dalam bulan ujian terlalu garang
kita masih boleh mengutip kesejahteraan.
Dongak ke angkasa rahsia mengkhayali

Lapisan sfera, ke kalbu tersentuhnya
kita, digundahi kekaguman luar biasa:
Bumi anugerah Allah dan terpilih kita
khalifahnya, datang yang dianugerahi,
boleh memberi, boleh juga memungkiri,
terpulang santun memilih atau menafi.

Bulan ini memangnya saat bertafakur,
bersedia memurni diri jika bersyukur,
kerana puasa yang menguji, menjelang
Idulfitri, nafas kudus menghening diri,
terbimbing ke batin lebih berhemah.

Terima kasih kita sepadu syahdu arah
yang memang datang seiring anugerah;
kerana manusianya kita, dan kerdilnya
di hadapan Allah, wajar bersyukurlah
setiap saat, sepurnama, penuh mekar
dalam debar, membaca setiap iktibar.
Kita beransur ranum dalam bulan mulia.

Karya Dato' A Samad Said
read more

Bisikan Semalam...








Begitu keramat nama tersemat

Menghimpun debar sejuta getar


Hampir luluh dada digegar

Tatkala berbisik dengar tak dengar

Walau sepatah kata dilakar

Hingga ke akhir terasa mekar

Meski semadi jauh di lubuk dasar

Masih mewangi si ungu mawar

Dalam gering cari penawar.


MyHeart - Jun 30, 2011.
read more

Senandung Auta Penawar Lara...









Di kanan sana meriah suasana
Si polan katanya menjunjung amanah
Menaung juang anak bangsa
Ya la mahu meradak entiti durjana
Ala proses menyuci mughallazah
Biar bertapak nur suci pada tubuhnya
Mengikut momentum perspektif tahap unta
Haqiqi kebenaran itu telah nyata
Biar berkubur suci selagi ada sebutir nasi
Biar mendabik di atas leluhur si miskin hina
Asal berjuang cukup jawapan segala
Tidak salah bukan...

Di kiri lain cerita
Puas pula menegak benang nan basah
Dia juga tidak bersalah
Menutup punca rezeki
Demi juang yang dihalalkan pasti
Apa la ada pada sehari cuma
Tiada lah miskin hingga melara
Ini penggorbanan namanya
Hendak menentang mungkar
Macam dia saja yang benar
Apa benar itu bukan onar?
Barangkali lebih dajal?

Sudah la...
Itu hanya senandung auta penawar lara
Mereka semua sama saja
Walau berbeza tompokkan harta
Tetap punya visi dan misi
Apa terselit nawaitu murni
Hanya Dia maha tahu
Mana suci mana keji.

® MyHeart - Jun 23, 2011
read more

Oh...Waktu!












Tiap detik berlalu
Kadang dingin bak salju
Kadang hangat membakar kalbu
Kadang gemersik berlagu pilu
Kadang ria mengusir waktu
Kadang bertamu tanpa diseru
Kadang tak diizin pergi berlalu
Kadang termanggu
Kadang tiada menentu
Kadang kelabu
Oh waktu!
Aku pemburu
Mahu diburu
Sering keliru
Ah...itu kan aku!

® MyHeart - Jun 23, 2011.
read more

Terbang Lah Ke Mana Jua...









 
Bebas lah terbang ke mana jua
Randuk cabaran tanpa putus asa
Kira jatuh bangun la semula
Itu lah perjuangan hidup namanya
Jangan disisih iman dijiwa
Bawa bersama
Ia bekal abadi kemana-mana
Meski sedu-sedan mengilai di jiwa
Usah gundah
Jijiran duka datang sementara
Bergolek-golek bak roda
Kadang tertindih
Kadang berkuasa
Tabah lah
Bagi mu yang baru merasai dunia
Kian lama akan tegal bisa
Kerana biasa
Jiwa nan kerdil kan jadi perkasa
Percaya lah
Liku-liku itu walau penuh berduri
Menjanji manis nan tiada terperi
Bersama nya
Doa-doa kan selalu mengiringi
Melihat langkah-langkah mu
Mencari erti sebenar hidup ini.

® MyHeart - Jun 06, 2011

nota kaki - Buat adik-adik tersayang. Tabahlah mengharungi segalanya.
read more

Jika Kaca Lebih Bernilai....Ke Mana Permata Membawa Diri?











 
Suluh berkilau memanah hati
Walau celik tiada dapat mengenal pasti
Bukan harus manikam dikenal jauhari
Tapi topeng beraneka kini
Disalut indah kemilau bercahaya
Manakan tampak cacat dan cela

Jika si buta, hati melihat
Apa si celik, cukup mengerti
Mengenal kaca membeza permata
Atau harus tersungkur baru terngadah
Walhal buta mata hati nya
Menilai objek umum sifat nya

Jika kaca lebih bernilai
Ke mana permata membawa diri?
Bawa saja kemana-mana
Sinar kalis diputar masa
Tidak berderai dihempas badai
Peribadi sejati sekian lama.

® MyHeart - Jun 01, 2011.
read more

Bingkisan Istimewa...













Gerbang ilmu lantang melaung seruan
Menjemput mesra insan pilihan
Memberi ruang menggenggam
Segulung kertas jutaan nilai
Bersama salutan wangian ilmu
Menjadi nur suci
Menerangi samar-samar lorong kehidupan
Lalu memayungi kemartabatan

Demikian cita tersimpan hasrat bertebaran
Meski adakala terhalang kaki berjalan
Nawaitu suci tiada lapuk dek zaman
Mungkin tidak diri tiada rezeki
Pada mereka bersandar tiap inspirasi
Senyum tawa duka melirih
Kudrat dibanting ikhlas menggalas
Kerna ini lah bingkisan istimewa nan dinanti


Tiada terhajat sambut berbalas
Andai terkenang syukur bermunajat
Melihat meraka jaya menggenggam ilmu
Menjadi insan lebih berguna
Menggapai impian kedua ayahbonda
Moga tidak beristilah angkuh dan bongkak
Dalam keluhuran hati dan budi
Biar kembang wangi dada ilmu ditaman sari.

® MyHeart - Mei 30, 2011.
read more

Sisa-Sisa Rindu...













Kadang hari nan pantas
Membuai sedar dari garis-garis waktu
Dalam merentas titi sebuah kehidupan
Untuk suatu saat lebih harmonis
Lebih utuh kukuh seraya padu

Namun ada kala
Menggamit jua puing sisaan rindu
Pada sesuatu yang berlalu
Ya...bak kiambang...bertaut dan berlalu
Berbisik menerjah mimpi-mimpi itu

Dalam warna-warni bayang
Merentas tautan kasih demi kasih
Hingga ternoktah simpul mati
Walau masih tidak sempurna
Ya...itu kan namanya anugerah (bersyukurlah)

Sisa-sisa rindu
Tenang aku mengenang
Walau tidak akan berulang
Tersimpan jua menjadi seribu kenangan
Buat senyuman tika kekosongan.

® MyHeart - 18 Mei, 2011.
read more

Angkara Kedegilan...













Tragedi menyayat jari
Angkara degil menguasai
Lelah berpesan seribu ingatan
Usah dienteng waktu nya alam
Ada hiqmah pada tutur orang lama
Bukan kah lebih dahulu merasa
Lalu disampai ceritera
Buat cerminan di masa hadapan
Berawas melangkah berpadah tutur bicara
Demi bertamu sejahtera

Dia ketepi segala-gala
Mengejar detik
Sedang masih jua tertinggal
Dia semat penuh hemat
Pada pesan jua ingatan
Tapi kabur dalam langkahan
Berpura lupa mengatasi kedegilan
Mahu menerang gelap samar kesenjaan
Walhal padah jadi lambaian
Menjamu tamu bukan undangan

Akhirnya bertetesan warna-warna merah
Dari sinar tajam bilah-bilah
Ah....mujur tuah masih menyebelah
Atau sebagai petanda
Degil mu itu tiada sirna kebaikan
Hanya ulangan tiap kejelekan
Nah...ada ngeri ditatap mata
Pada hirisan luka disenjakala
Maka sedar lah
Jangan digilap silap nan sama.

® MyHeart - Mei 03, 2011.
read more

Simbiosis Cinta...













Di antara sejuta kalimah
Ada satu penuh makna
Terkandung hiqmah
Jua terselit duka
Dalam lakaran potrait sejarah
Seorang insaniah
Merubah mukim hatinya
Pada sesuatu lebih bermakna
Bukan lagi kontang-kanting yang membinasa
Melengkap sunnah umat Rasulullah

Dia mengemudi sebuah bahtera
Nun di lautan simbiosis cinta
Apa bahtera utuh akurasi arah
Atau karam dibadai rakus kelalaian
Mungkin tinggal persoalan
Andai tinta keimanan
Menjaluri garis-garis kehidupan
Menunjangi simbiosis cinta dua jiwa
Kembang mewangi semerbak kasturi
Di akhir zaman penuh seribu duga.


® MyHeart - April 29, 2011.
read more

Lantera Keramat...












Tangisan pohon-pohon bergema lagi
Dalam syahdu dia berbisik pada sang bayu
Oh sampaikan salam musafir ku
Pada semesta alam
Aku mungkin hilang
Dalam kamus kehidupan

Lantera keramat ku kian pudar
Mungkin sudah lelah memberi sinar
Pada harapan kian terbakar
Ah....siapa mahu mendengar
Apa lagi mahu tersedar
Andai telah sebati berbuat onar

Perlahan semakin kaku
Amarah kian mendesah
Terus membisik bertalu-talu
Sedar la dari mimpi-mimpi mu
Indah bukan selama-lama
Derita hanya seketika

® MyHeart - April 26, 2011.
read more

Samar Ilusi Dalam Fantasi...












 
Kanan dan kiri aku berlari
Mencari arah sinar nan pasti
Menyuluh gelita di sanubari
Kian bernaung dirumpun sepi
Di ulit lirih menjadi-jadi
Makin dibuang makin hampiri

Cuba ku gapai biru nan tinggi
Tiada sampai jari jemari
Kaku tersenyum getus mencari
Mana pujangga peneman diri
Samar ilusi dalam fantasi
Lukis realiti terkhayal lagi

Mungkin impak disiang hari
Mata celik mimpi menghuni
Sudah hilang tercari-cari
Sudah ada mohon pengganti
Sahsiah mana bertakhta kini
Ah...mana budi mana pekerti

Lari lagi tanpa mengerti
Mahu mencari usul nya diri
Jerangkap samar diam menanti
Salah melangkah punah lagi
Meniti gelap arus duniawi
Di mana penawar haqiqi??

 ® MyHeart - April 14, 2011.
read more

Qalbu Tidak Menjadi Lidah...












Ketika qalbumu tidak menjadi lidah,
lidahmu pula enggan menjadi suara,
apakah tugasmu masih satu ibadah
atau ia sekadar, ya, sekadar kerja?

Ketika janji manismu amat berdegah,
nasib bangsa dijanji kemerlip permata;
dikau tampaknya semakin bersilap mata—
ekuiti gergasi jadi sekangkang kera.

Lima dekad kau leka enak berkuasa,
tiba-tiba kau sengaja menjerit parah.
Katamu: “Bangsamu sedang terhasak hina.”
Soalnya, kenapa kau yang memungkinkannya?

Ketika undimu terhimpun sangat sasa,
dan undi itu dikira sesedap rasa,
apakah tugasmu sebagai penguasa—
takek bahasa dan gunting lidah sastera?

Lima dekad dikau dewa segala dewa,
harum kasturi di dalam hanyir piala;
qalbumu mungkin berjaya menjadi lidah,
cuma, apakah tulus menjadi ibadah?

~~A. Samad Said~~
 http://samadsaid.wordpress.com/2011/04/02/qalbu-tidak-menjadi-lidah

read more

Mana Ma'ruf Mana Mungkar?...













Suara spekulatif itu gemersik lagi
Sumbang nada-nada berbaur busuk juga
Ah...mengapa si polan cukup bangga
Menjajah sequal menyakitkan retina
Katanya itu rahsia tapi punya agenda?
Mengapa terketar-ketar kalimah pada bibirnya?

Terbelalak tiap bebuli kanta deria lihat
Jijik pada seliratan urat mendengar
Mengapa perlu bertempik umpama halilintar
Andai ternyata itu perkara benar?
Apa telah bersekam demikian resam
Demi mencapai pundak kekuasaan akhir zaman?

Cermin pusaka tidak lagi memantul wajah
Hanya topeng hitam penuh sengketa
Bukan lagi memartabat kehendak bangsa
Cuma sekadar batuk-batuk biasa
Asalkan menjadi seagung mitos pahlawan bangsa
Meski nyata musang berbulu ayam sifatnya!

Ah...suku-suku ini bagaikan punya pesona sama
Kita sudah keliru untuk mengenal
Mana jahil mana benar
Mana ma'ruf mana mungkar
Tidak lagi terpimipin tiap kalam di kitab suci
Dek hati yang hitam mula menguasai

Kadang tersoal tapi tersasar
Tidak tertemu dasar pada keaslian sumber
Sampai bila hikayat dusta akan membakar?
Mungkin setelah sekawanan Bald Eagle datang mencabar?
Atau malapetaka datang mengegar?
Ah....kala itu sudah terlewat mahu tersedar!

® MyHeart - April 1, 2011.
read more

Sebalik Senandung Melankolik...

 
Setenang nur suria di langit biru
Mengiringi derap-derup langkah kerdil ku
Merungkai sendu dibawa pergi puputan bayu
Tercoret bingkisan indah membuai hati berlagu-lagu
Menadah syukur bertalu-talu
Pada nikmat pada kurnia dari Yang Satu

Pundak gugusan beban
Serasa gugur mengikut deras waktu
Nikmat apakah yang harus kau dustakan lagi
Meski secupak gondolan kurnia
Seberkah rezeki mampu menjadi segunung intan
Seluas samudera yang tak bertepian

Kerna kala bahtera dipukul ribut taufan
Ada tenang kan menyusul laluan
Meski seolah halimunan sebuah kemanisan
Kala senandung melankolia diperdengarkan
Ada hikmah telah dijanjikan
Tidak sesekali kau diuji melebih batas kemampuan.

 ® MyHeart - Mac 31, 2011.
read more

Pohon-Pohon Rindu...











Rindu ini bertamu lagi
Menjalar pada  kekosongan waktu
Berbisik pada sang bayu
Merayu pada purnama nan pilu
Tunjukkan pada nya kala lebat bebuah rindu
Yang memagari sangkar emas kasih ini

Mungkin sinar terang sang mentari
Tidak lagi dapat memperlihat tulus kasih ku
Bagai pudar dimamah rakus waktu
Namun hati masih mendesah rindu
Kalbu kekontangan hatta merajuk pilu
Menyeru merayu menjerit pada batas batas kaku
 
Pada tiap senyum kerana diri mu
Pada tiap bahagia kerana kasih mu
Pada tiap gelak kerana gurau mu
Pada tiap sendu kerana rindu itu
Pada tiap tangis kerana cinta mu
Pada tiap sepi kerana sayang mu

Pepohonan kasih ku masih teguh merimbun
Terlalu lebat dihujani bebuah rindu
Menghitung-hitung tiap rentetan waktu
Temu kan diri demi mengubat segunung rindu
Teguh kan kasih di sudut hati
Buat ayahbonda nun jauh di sudut mata.

 ® MyHeart - Mac 28, 2011.
read more

Rasa Itu Membunuh Ku...













Dalam helaian jalur-jalur merah
Yang berselirat jauh dilapis epirdemis
Ada tercatit sebuah nama
Bersama sehening kisah
Derita bersemadi mencari bahagia
Dibungkam kekelaman maya

Indah mengalun kalam
Dalam untaian tinta dusta
Siapa sangka ia mencipta refleksi rasa
Mula memagari dinding hati
Sedang ia bukan suci
Rupanya membunuh ku selang hari berganti
 
Akhirnya terbongkar jua dalam serpihan masa
Tanpa tertinggal setetes pun sisa
Bagi nya yang suka mengunyah auta
Di sepanjang leret-leret angka usia
Bangga memperbodoh memperlekeh
Biarlah sesungguhnya dendam ini tidak kan singgah!

® MyHeart - Mac 28, 2011
read more

EkoMunis Lagha...









Ya..silakan pilih silakan beli
Banyak murah jangan susah hati
Ada gerenti kalau tiada puas dihati
Wang mungkin tidak dikembali
Tapi barang akan diganti
Kasi servis kaw-kaw punya lagi
Mau miss? mau cik? Mari mari...

Tidak sepakat tidak dipersetujui
MOU unfair wujud disini!
Baru dua bulan berlalu la Inchik Tokeh
Takkan sudah naik begitu tinggi?
Berderau darah rasa macam nak marah
Enak sungguh pemegang ekomunis mencekik darah
Tanpa segan tanpa silu lagha berniaga!

Ah...apakan daya mahu bertelagah
Bukan hanya aku turut terlampias menelan rasa
Kalau mahu barang murah
Lu pigi sana laa...zaman Datuk Hang Tuah
Sekarang ulat dalam batu pun dok gelisah
Mana nak cari batu habis buat jalan raya
Korban pembangunan sini sana

Apa nak dikata barang naik harga
Meski syiling rezeki saban tahun lambat berubah
Jangan pula kau lara berduka cita sampai naik gila
Percaya pada setiap janji Allah
Insyaallah rezeki tetap ada di mana-mana
Asalkan kau rajin tak kenal lelah
Rezeki secupak akan jadi berganda-ganda.

® MyHeart - Mac 26, 2011
read more

Synchronization Gagal!...













Kabut menyapa lagi
Mencuba synchronisasi dari hati ke minda
Nyata wireless nya lemah
Bluetooth nya menggusarkan jiwa
Aduh...apa connection nya bermasalah?
Atau kondisi hard disk nya lemah?

Ah...barangkali trojan sudah lama diam menghuni
Manakan tidak AVG anti-virus edisi free
Bukan tidak berkualiti
Tapi tindak tanduk terlalu limitasi
Hingga sukar dibaca
Ini kisah tentang apa sebenarnya???

Errr....serebrum rupanya berbuat onar
Sychronization sangat-sangat tidak ngam
Ilham menari namun langkah ku kaku dipagari jeriji
Bait-bait kata termusnah disimbah blurrrr tak sudah!
Oh tolonglah....
Kemana akan ku cari ilham semanis pondok hitam!

® MyHeart - Mac 23, 2011.

Nota kaki - ketandusan idea.



read more

Getusan Bisu Suara Pujangga...













Tiada lagi yang tinggal selain melankolik nada-nada
Bersama getusan bisu suara pujangga
Tiada lagi mencorat-coret madah-madah
Melakar awan-gemawan dihujung manis pena
Yang rupanya hanya tinggalan sisa-sisa
Sarat noda dihujung lidah

Ah...Bukan baru tersangka
Hanya kau saja mendiam tuli dipangkal lara
Konon hanya bisik rasa tiada logika
Biar medula oblongata cuba ligat memutar bicara
Mahu menjustifikasi konklusi pada halusinasi maya
Siapa tahu keberuntungan milik mu jua

Lihat...itu semua hampir membuta retina
Terlalu hampir mencipta nestapa gila
Meranduk sengsara dengan sengaja
Walhal tiada apa mengundah-gulana
Biarkan ia bertik-tok megah dihujung nadinya
Suatu masa kan terjaga ia dari lena mengguris rasa.

® MyHeart - Mac 21, 2011.
read more

Siratan Awan Kelabu...













Mentari pagi itu hilang dari sorotan bayang
Kelabu dilindung kepul-kepul awan
Seolah hilang dalam terang
Tandus dalam kontang
Pada bayang mendung nan menghitam

Jerih menanti bila hujan kan datang lagi
Menyimbahi jejak-jejak kasih
Yang semakin luput dimamah hari
Tanpa secebis simpati
Meski hampir kering tasik mutiara sepi

Apalah upaya untuk meminta
Sedang denyut nadi bisa terhenti
Hanya doa tiada putus ditadah
Moga kembali jejak ceria
Menerangi kelam yang kian berbalam

Gugurkanlah titis-titis suci mu
Yang menghuni siratan awan kelabu
Jangan berdiam disitu
Menyembunyi ria sang mentari
Tanpa mahu berlabuh menghujani kekontangan ini.

 ® MyHeart - Mac 17, 2011.
read more

Bila Ibunda Menangis...









Lirih hati nya melihat kanan dan kiri
Saban hari tubuh nya dirabak tanpa simpati
Saban hari dia harus menelan racun suku sakat tanpa henti
Anak-anak cucu tidak lagi peduli
Pada tangis pada rintih yang akan memakan diri
Mereka buta kan mata pekak kan telinga
Konon mahu menggapai langit tinggi nan membiru
Yang benar kasih tinggal cuma sekerat dua

Sudah berabad dia menangis
Sedikit benar waktu untuk dia ketawa
Malah usia lanjut semacam dia tidak berdaya lagi
Melihat anak cucu lupa diri lupa janji
Dan di akhir-akhir  ini
Airmata itu terus galak membasahi
Rupanya ada tragedi mahu disampai
Ada rahsia mahu dirungkai

8.9 gempita goncangan mengegar alam
Bukan mahu menghukum warisan sendiri
Tapi dia lelah melalui hukum ketuaan ini
Bersama jeritan dia ledakkan satu muntahan
Dari lautan ke persada daratan
Ah....bagai berulang kisah kekecewaan nya
Pada keramat 24 Disember 2004
Ratusan ribu anak cucu hilang nyawa ..

Pada tiap tangisan ada pesan dia bisikkan
Duhai anak cucu jaga tingkah dan laku
Ingat pada hakikat yang pernah kau pelajari dahulu
Ekologi alam terang-terang menyatakan
Yang muda pasti tua
Yang hidup pasti mati
Bukan kah hidup ini hanya sementara?
Kenikmatan duniawi itu tiada ertinya

Justeru...bersiap siaga lah akan dirimu
Kikis debu-debu hitam pada jasmani pada rohani
Dengan simbahan tinta iman dan ilmu
Menjadi bekal kau bawa pulang ke alam sana
Aduhai ini bukan hukuman dari Ibunda
Tapi kasih yang penuh berkias
Untuk kau semat utuh dalam kantung hikmat
Tiap kali kau dengar Ibunda menangis pilu.

® MyHeart - Mac 11, 2011.

read more

Jika Hari Ini....










Jika hari ini kau lupa
Mari sini aku ingatkan
Setajam lidah semanis kata
Bukan mimpi tapi kenyataan

Jika hari ini kau ria
Jangan lupa esok mungkin duka
Kan aku pernah kata hidup seumpama roda
Bila-bila masa bertukar tip-top carta

Jika hari ini engkau marah
Mari sini aku buat lawak bodoh
Biar hilang rasa amarah
Ketawa hingga berdekah-dekah

Jika hari ini aku kau bukan kita
Jangan dendam berapi dijiwa
Maafkan halalkan segala-gala
Penawar terindah dalam setiap duka

Jika hari ini jalan mu terpesong di mana-mana
Mari sini kita segera pulang bersama-sama
Sebelum sampai tidur abadi tiada lena
Sebelum kesal hilang erti nya...

® MyHeart - Mac 10, 2011.
read more

Kita Yang Bermimpi...













Dalam kabut saujana senja
Kita renung ufuk merah di kaki langit
Bersama bisikan lesu puputan bayu
Menelanjangi sekudus kenangan yang telah lama pergi
Dalam hiruk pikuk bayangan waktu
Gelincir tanpa mahu berhenti henti

Kita masih terus memburu
Pada indah warna-warna pelangi
Sedang itu hanya imagis kala hujan membasah bumi
Menepuk sedar kekontangan alam
Dalam rekahan bilah-bilah kepingan tanah
Yang telah lama rindu deraian airmata awan lara

Kita yang bermimpi
Hampir kelam dihujung sinar ufuk senja
Sedang waktu terus merangkak kelabu
Menyeru matikan mimpi sekadar itu
Memburu haqiqi titik waktu
Sebelum termanggu selama-lama menatap langit biru.

® MyHeart - Mac 8, 2011.
read more

Angka Angka Tanpa Kalimat..










Sebelum menjelma
Telah siaga terlakar di jiwa
Tiada lupa tiada duka hanya ria
Melihat seri indah purnama
Oh hampir genap sudah menggapai usia
Laksana mimpi si kunang-kunang menjadi nyata

Yang dicinta lebih mengerti
Yang disayang lebih sedari
Apa diharap tiada selalu akan menjadi
Kita insani punya segala kekurangan diri
Atau sememang hanya alasan ditokok diberi
Kerna semata mahu mengabui

Sedang hakikat telah lama jadi keramat
Bagai tugu hanya utuh teguh terpahat
Sedang ingatan kabur-kabur dalam munajat
Tertinggal lah angka tanpa kalimat
Menjadi angka-angka yang hilang semangat
Tiada lagi berbekas dalam kudrat

Hari ini setitik mutiara tiada bererti
Hari ini secebis luka tiada sedari
Lalu apa kan jadi pada hari yang berganti
Teguh kah lafaz cuma kerana simpati?
Dan berapa lama sebelum luluh rasa dihati?
Jari-jari mula membilang hari.......

® MyHeart - Mac 7, 2011.
read more

Maafkan Aku...











Ku coret kan kata tak seindah bahasa
Tidak terniat mencemar pusaka ibunda
Cuma kehilangan keajaiban idea
Buat disampai pada yang mengerti
Apa tersirat di dalam hati
Apa tertulis dalam puisi

Indah di mata bukan di hati
Harus kau kenali semahu pasti
Usah kau buat konklusi sendiri
Mulia nya buku dengan perincian isi
Bukan dianalisa muka hadapan
Harap kan cantik tapi busuk memualkan

Tiada ku pinta harap percaya
Mulia insan bukan kerna tutur kata
Kerna hati nan bersih bak awan memutih
Aku percaya kau mengerti
Tiap alasan punya ketersiratan
Demi melindung secebis kemashlahatan

Aku bukan diktator durjana
Memaksa wajib terima tiap lontaran kata-kata
Hanya semata insan biasa lemah adat nya
Maaf kan aku andai pernah mengguris rasa
Pada bicara pada laku yang tak terjaga
Kekhilafan ku kerana aku insan tidak sempurna.

® MyHeart - Mac 5, 2011.
read more

Pondok Hitam Di Pinggiran Lautan Kasih..









Duhai pondok
Diribaan mu aku pernah bersimpuh
Mencoret angan dalam pintalan
Benang-benang maya kasih
Ku jadikan lembaran warkah agung
Buat tatapan kalbu insan ku puja
Biar terbit di dada-dada kaca
Bersama wangian kuntum-kuntum mawar ungu

Ungkapan manis menyelak rasa satu persatu
Usahkan hidup mahu bersama
Malah mati pun ingin dalam liang yang sama
Camar-camar bagai ketawa sayang
Saat mendengar lafaz janji yang bukan-bukan
Manis nya cengkerama kita
Lewat mentari di anjung senja
Di kunjung bulan bersama bintang berjuta

Panahan asmara menujah-nujah di dinding jiwa
Hampir saja kita karam di pinggir lautan kasih
Dalam teduhan pondok yang semakin menghitam
Dek kerna mentari kian ditelan ufuk senja
Hebatnya cinta mu wahai sang arjuna
Aku terbuai bukan kerna paras rupa
Juga bukan kerna harta nan melimpah-ruah
Tapi kerna kasih yang membelai jiwa..

Tiada cinta yang sepi dibadai gelisah
Saat itu betapa aku tak ingin
Melihat mu pergi tanpa rela di hati
Meninggalkan kenangan terindah tika berdua
Di pondok hitam pinggiran laut tenang
Namun apa daya sayang
Kita tidak memegang tangkai taqdir
Patah tumbuh tapi hilang tidak berganti

Mungkin kau satu dalam berjuta
Tiada serupa meski akan ada sama
Aku akan terus setia
Bersimpuh kasih memintal benang-benang doa
Untuk sejahtera dan bahagia
Jika nadi mu berdenyut ria
Untuk damai dan tenang
Jika nafas mu telah menghilang

Kerana aku kabur mencari berita
Diselubung kabus tak berpenyudah
Dihimpit persoalan tiada jawaban
Aku tandus kehilangan kata-kata
Aku tangis dalam gelak dan tawa
Terus mencari
Terus bertanya
Ke mana kah hilang arjuna yang ku puja..

® MyHeart - Mac 2, 2011. 
read more

Wajah Wajah Ria Dunia...










Ada irama lebih gemersik
Ada bunyi lebih puitis
Ada aksi lebih romantis
Ada senda loka lebih komedi
Tanpa CD tanpa MP3
DVD atau MP4
Bisa terdengar di mana-mana
Sebijik autoplayer
Sofistikated ciptaan Tuhan

Anugerah tiada tara
Pada insaniah seantero wahana
Sebagai seri warna warni dunia
Tika perang membadai
Tika teriakan demonstrasi
Tika tangisan tsunami
Tika gempita gegaran bumi
Tika sebutir nasi jadi rebutan
Tika bah tiada terduga
Tika terik mentari berbahang
Wajah-wajah itu tetap bercahaya
Menjadi sinar pengubat lara
Penyeri ria gembira
Penerang gelap gelita

Wajah wajah ria dunia
Masih indah
Masih sempurna
Suci dari naungan dosa
Tiada mengerti
Lorong lorong jalan kehidupan
Hanya tangis dan tawa
Marah dan rajuk
Wacana emosi
Untuk difahami
Untuk disayangi.

® MyHeart - Mac 1, 2011.
read more

Kedamaian Seorang Aku..










Malam ini terasa nyaman menenangkan
Di balik tirai sutera putih
Aku duduk memasang angan
Sambil termanggu menatap sinar rembulan
Mengapa ada bayang-bayang
Seumpama takjub tersenyum
Melihat keasyikkan ku
Menatap indah rembulan
Nun bersemayam di singgahsana gemawan
Terang bercahaya
Menyuluh malam nan gelap-gelita
Menemani aku tanpa sebutir rasa gelisah
Hanya ketenangan bermandikan cahaya rembulan
Bak puteri jelita bersiram bunga bunga cinta
Jauh dipinggiran kota kota batu

Lagu alam berirama romantis
Bersama gemersik sang cengkerik
Bayu malam riang ria berpuput perlahan
Turut sama menemani aku
Menghayati keindahan sinar rembulan
Di balik tirai sutera putih
Dan kerdipan bintang-bintang
Seumpama bermain-main
Di hujung kelopak mata
Memberi petanda
Nikmat anugerah Ilahi
Tiada tara tolok bandingan
Terus lah bersujud syukur
Sementara nafas masih terkandung
Di liang rongga pernafasan

Tenang...
Kedamaian tiada mampu tergambar
Pada lensa kamera
Juga pada butir lafaz
Di tepi bibir nan manis
Sesungguhnya keindahan ini menenangkan
Kesunyian ini menggembirakan
Membuang resah menyingkir gelisah
Pada tangkai hati
Yang sering gundah
Tiap kali kaki mengembara jejak jejak jaya
Demi melaksana hasrat dan cita
Menggenggam manis di penghujung usia..

® MyHeart - Februari 28, 2011.
read more

Aku Bukan Lalang...












Aku bukan lalang!
Coba kau tanya pada mereka
Jangan kau tanya terang terang
Tanya selindung
Cakap belakang
Nah!
Apa jawabnya??
Ya...Dia bukan lalang..

Ada kau lihat mata mereka
Apa refleks anak matanya?
Apa stimulasi gerak badannya?
Jangan pula kau rabak
pekung dada nya...
Nanti di bilik besi engkau merana
Jangan pandai-pandai tuduh
AKU punca nya!

Aku bukan lalang...
Macam jawapan yang kau temukan
Dari ramai ramai plastik dan hipokritis
Ada niat terselindung
Ada hasrat bersenandung
Aku tetap mereka bilang
Bukan lalang!
Biar banyak temberang
Macam tin kosong gedebuk gedebang
Mencanang tanpa congak
Berfikir tanpa otak!

Aku bukan lalang
Bukan lalang
Jembalang pun bukan
Hehe..sepupu sepapat lebih kurang
Tapi tetap bukan lalang
Kau jawab lah sorang-sorang
Ada wang
Bukan lalang!

®MyHeart - Februari 25,2011.
read more

Semerah Hati Mimosa Pudica...









 
Bunga-bunga mu tak seindah mana
Kadang merah jambu
Kadang warna ungu
Bak ungu lavender
Tapi tidak memadai
Menyaingi kejelitaan mawar ungu
Kau tak kisah pun
Kata mu hidup di dunia
Bukan terletak pada cantik semata
Itu kan hanya perhiasan dunia
Kan rapuh jua bila tiba masa

Ah! tersipu malu malu daun daun mu
Saat tersentuh jemari ku
Segera terkatup rapat
Berselubung
Demi melindungi
Diri yang kerdil
Hatta mengalas tanah
Disaingi
Rerumput yang lebih perkasa
Kau teruskan juga hidup
Di atas tanah bertuah

Tiada kau gusar sedikit pun
Akan hakikat
Meski kerdil
Duri-duri nan tajam
Sedia terhunus
Lagak pendekar sedang bertarung
Tersilap perhitungan
Kulit nan mulus mengalir darah
Tiada kau musnah sekelip mata
Bertahan hingga ke umbi terakhir jua

Oh! merah nya hati mu
Merah menyala pantang beralah
Semerah warna bunga mu
Tika belum berkembang
Namun kau tetap malu-malu
Sesinonim nama mu...

® MyHeart - Februari 24, 2011.
read more

Sepasang Tembok Batu...








Nun di hujung mata
Ada sepasang tembok batu
Tegak terpaku
Teguh tanpa keliru
Setia tanpa wasangka
Tenang beralaskan rerumput kehijauan
Tiada satu pun desah nafas terdengar
Hanya lambaian syahdu
Pohon pohon cempaka
Cukup pasti memayungi
Sekujur tubuh
Yang telah lama kaku
Di antara lapis lapis bumi

Tembok batu sering menyeru
Pada tiap nama nama
Bersuara tapi tak bisu
Membawa pesan
Setiap bernyawa
Pasti kelak
Akan bersemadi di situ
Seumpama guguran daun daun
Sementelah harta duniawi
Akan tertinggal jua
Bersama kenangan
Abadi dalam potrait ingatan
Bersama doa doa.

® MyHeart - Februari 21,2011
read more

Selumbar Kasih...










Kala bibit bibit cinta berlabuh 
Di pelabuhan asmara
Semerbak wangian
Menyelubungi alam maya
Secantik aurora menghiasi singgahsana
Membuai lena bersama ilusi indah
Mencetus inspirasi logika meneman jaga
Tiadalah lekang seri di raut wajah
Dek kebahagiaan melimpah-ruah
Dan kelopak ungu mawar kian bugar
Bersama kalam puitis
Terus berlagu menyanyi-nyanyi
Pada helaian warkah-warkah kekasih

Sayang seribu kali sayang
Panas tak sampai ke hujung petang
Kasih tertusuk selumbar nan bisa
Tanpa sedar
Goresan luka tampak tiada
Namun pedih menyiat-nyiat kalbu
Mawar ungu kian layu
Di terjah kelabu warna
Sepi berteman lara pujangga
Apa daya
Tiap detik berganti merubah segala
Meski utuh kasih terpahat
Nun di puncak everest tertinggi dunia
Kan luluh jua di baham sinar terik sang suria
Andai terus dibiar
Kan menggelupur kekeringan
Danau kasih dan sayang
Yang pernah membasahi
Hamparan dua jiwa

Buka lah mata
Lihat pada sekeping hati nan merah
Di atas nya terukir sebuah nama
Terpatri dalam lafaz kata dan janji
Akan bukti kecintaan haqiqi
Usah biar selumbar terus diam menghuni
Kelak pedih menghancur lumat
Saki baki rasa kasih 
Kembali lah
Sirami kelopak ungu mawar di taman asmara
Usah biar ia terkubur di liang derita.

® MyHeart - Februari 17, 2011.
read more

Titis Titik Noda...










Wangian cinta kian ranum
Membasahi lubuk jiwa dua insan
Kian subur
Dengan pandangan nakal bebola mata
Merona rona mekar dalam kalbu
Selamanya...
Tanpa dialas iman dan ilmu
Seolah itulah bidadari
Itulah bidadara
Diperturun dari syurga
Menjelma di pentas dunia
Sebagai hero heroin asmaradana
Tanpa kenal
Apa itu larangan
Apa itu kemungkaran

Oh! wanginya asmara nan hangat
Titis Titik Noda
Mula mercik di dada dada nafsu
Tanpa kalimah suci menyelaput
Sekudus hati
Mudah saja bisikan musuh memperdaya
Malu dipinggir
Semudah menanggal hijab
Seutas benang maruah
Tidak lagi terlihat
Pada gebu segan keremajaan
9 akal menjadi 9 nafsu!
9 nafsu membutakan akal nan 1 !
Punah dibuai kenikmatan syurga dunia
Di atas bara api neraka
Tempat asal musuh durjana

Percaya bauan mungkar terhidu tiada
Percaya semudah menutup bangkai
Tahu tahu busuk bertebar seantero jagatraya
Sementelah itu lah bukti cinta
Bukan kah mitos agung lagenda cinta
Jua berkorban demi kekasih tercinta
Rapuh nya taksiran konklusi
Pada keagungan cinta
Apa bukti sejijik itu
Mampu menyubur asmara hingga ke mati?
Atau akan ada lagi
Daging merah tidak berdosa
Tertumpah darah tercabut nyawa
Berteraburan di mana mana
Dalam longkang, sungai
Mahu pun tong sampah
Asal maruah terletak kembali pada mahkota!

Cukup lah...
Titis Titik Noda itu
Akan menghitam merah nya hati
Menukar kucing menjadi serigala
Meranap punah ketamadunan bangsa
Dan tersungkur derita di pintu syurga
Kembali lah...
Pada jalan yang benar
Meski berduri jua berliku
Di penghujung nya
Ada nikmat abadi
Penuh restu
Dan percaya lah..
"Kepulangan" mu senantiasa
Ditunggu-tunggu.

® MyHeart - Februari 14, 2011.
read more

Di Mana Sahabat Ku?....













Cinta mu mekar
Kala duri-duri ada di sisi
Setia mu tak mati
Kala airmata tak sudah mengunjungi
Kian harum seharum kasturi
Kian mekar berseri-seri
Bak ungu mawar
Yang sering ku puja puji
Namun tak daya ku miliki
Taman-taman mewangi ungu
Kerna tak sampai tangan menggapai
Tiket terbang ke bumi Obama
Sekadar sampai seberang bayu
Tempat melakar potrait kasih kita

Kau kata tak apa
Kan ada kelopak hibiscus
Lebih berharga lebih patriotis
Dan apa kurang si jelita rafflesia
Bunga terbesar di jagatraya
Nan subur membiak tepian lereng
Di puncak tertinggi seantero asia
Dalam diam aku angguk lalu ketawa
Gurau senda mu penuh kalimah ilmu!

Semakin indah warna pelangi
Bila mendengar kita gembira
Riang tertawa
Semakin dingin terik mentari
Bila melihat titik-titik keringat
Membasahi
Tulus wajah wajah
Saat kita melayari denai denai ilmu
Dalam mencari erti hidup
Menuju dewasa

Kini aku termanggu
Menatap langgit biru
Dalam lautan berjuta manusia
Cuba ku cari bayang-bayang mu
Apakah ada tulus seperti mu
Sudi berkongsi sepinggan rezeki
Secangkir madu kasih
Atau setitis airmata
Tika poket tidak berisi?

Andai tiada jodoh bertemu lagi
Di pentas sementara milik Ilahi
Moga di laman firdausi nan abadi
Akan tercantum semula
Ukhuwah kasih sahabat sejati
Yang terputus sekian lama
Dalam rona roda putaran masa.

® MyHeart - Februari 23, 2011.
read more

Kala Pena Khilaf Bicara...












Ligat menari pena jelita
Di lembar putih mulus menyulam tinta
Intepretasi minda
Intepretasi sanubari
Cuba dilakar bait kata-kata
Dizahir dalam puisi nan indah
Bagai semilir angin
Dingin dan tenang
Bagai secerah awan
Suci dan tulus

Kadang tarian tidak segemersik irama
Sumbang langkah
Tidak direncana
Rupanya kata menikam dada
Ada goresan mencalar sukma
Pena terlupa
Warna-warna tinta kan tidak sama
Ada biru, hitam, merah
Dan aneka macam
Justeru sama hanya pada nama
Yakni PENA!

Ah....mengapa mudah menjadi pelupa
Jangan dienteng nan kata-kata
Kerna santan pulut binasa!
Kerna kata putus saudara!
Aduhai sayang...
Tidak oh tidak...
Bukan kah fitrah azali jua
Bukan sengaja lupa
Bukan kurang budi bahasa
Demikian khilaf buta nya pena
Dalam melentur tinta pujangga.

® MyHeart - Februari 11, 2010
read more

Pondok Usang Di Belantara Batuan...











Sinar ria sang mentari
Seolah memberi cahaya
Pada pondok usang yang kian lelah
Kian susut dimamah usia
Namun kadang bila mentari
Merangkak-rangkak diputar masa
Cahaya itu hilang
Dari mulus bayang pondok usang
Semenjak belantara batuan tegak berdiri di sisi

Hinggar binggar, hinggit binggit
Dari lorong-lorong di muka hadapan
Seumpama irama ironis dari radio usang
Saban hari berdendang tanpa mampu dibendung
Deruman enjin enjin ada lunak ada ganas
Bersatu bersama kepulan muntah putih dan hitam
Dari corong-corong ekzos
Lalu menjadi serpihan debu debu hitam
Mengoles hodoh
Pada kulit tubuh yang kian tua
Yang menunggu waktu di telan masa
Mujur kehijauan saki baki jambangan
Menjadi seri lestari pada wajah nan suram

Dan kala bulan di pagar bintang...
Seri mu bagai hilang dari pandangan
Kalimantang di sudut sisi telah lama mati
Tidak lagi menerangi seperti dahulu
Hati mu lirih memandang kanan dan kiri
Neon-neon mewah gemerlap memandikan cahaya
Pada batu batu nan seumpama tiang langit

Ah! saban hari ada saja mata melirik pada mu
Namun tiada satu pun kan tersenyum
Ada saja mencemuh-cemuh keusanganmu
Sinar pada mata mata itu
Ada terjemahan kebencian
Tergamak membayangkan
Teguh mu di sisi batuan mewah
Mencemar keindahan
Sedang dahulu engkaulah istana
Tempat bersemayam cucu cicit warisan

Kaki-kaki yang masih ampuh berdiri
Itulah kekuatan mu
Mengharungi ribut cacian
Oleh sang batuan yang bongkak
Mencapai gemawan
Di tengah belantara batuan
Sedang pada tapak sang batu itulah
Kau saksikan jerit tangis teman-teman
Raungan lolongan memohon kasihan
Aduhai hancur luluh pusaka berzaman
Diterobos rakus dibinasa raksasa moden

Hanya keluhan dan tangisan kecil
Bergema di ruang kandung mu
Melihat dajjal merebut haq
Yang bukan haq
Demi lautan nota biru
Itulah harga kemartabatan
Yang perlu dibayar anak cucu
Demi cerahnya masa depan yang kelabu
Oh!

Kau masih setia di situ
Meski teman-teman telah tiada
Meski hilai tawa anak-anak kecil
Tidak lagi bergema
Meski rajuk manja gurau senda ayahbonda
Telah lama berkubur
Kau masih juga di situ
Bersama kenangan pahit, indah dan manis...
Dilipatan utuh helaian sejarah.

Pondok usang di tengah belantara batuan
Lewat hari-hari mendatang
Kau akan terus gigih menghitung
Saat diri mu akan meraung-raung
Dalam keangkuhan waris
Mempertaruhkan warisan atau kemewahan?
Pondok usang atau nota biru??
Demi memenuhi pundak keserakahan
Bukan pondok usang tinggalan nenek moyang
Bukan! bukan!
bukan engkau yang lebih penting
Nota biru bermohor itu
Jauh lebih bernilai!!!

® MyHeart - Februari 10, 2011.
read more

Puisi2 MyHeart..