Cari2 D' MyHeart

Loading

Sebalik Senandung Melankolik...

 
Setenang nur suria di langit biru
Mengiringi derap-derup langkah kerdil ku
Merungkai sendu dibawa pergi puputan bayu
Tercoret bingkisan indah membuai hati berlagu-lagu
Menadah syukur bertalu-talu
Pada nikmat pada kurnia dari Yang Satu

Pundak gugusan beban
Serasa gugur mengikut deras waktu
Nikmat apakah yang harus kau dustakan lagi
Meski secupak gondolan kurnia
Seberkah rezeki mampu menjadi segunung intan
Seluas samudera yang tak bertepian

Kerna kala bahtera dipukul ribut taufan
Ada tenang kan menyusul laluan
Meski seolah halimunan sebuah kemanisan
Kala senandung melankolia diperdengarkan
Ada hikmah telah dijanjikan
Tidak sesekali kau diuji melebih batas kemampuan.

 ® MyHeart - Mac 31, 2011.
read more

Pohon-Pohon Rindu...











Rindu ini bertamu lagi
Menjalar pada  kekosongan waktu
Berbisik pada sang bayu
Merayu pada purnama nan pilu
Tunjukkan pada nya kala lebat bebuah rindu
Yang memagari sangkar emas kasih ini

Mungkin sinar terang sang mentari
Tidak lagi dapat memperlihat tulus kasih ku
Bagai pudar dimamah rakus waktu
Namun hati masih mendesah rindu
Kalbu kekontangan hatta merajuk pilu
Menyeru merayu menjerit pada batas batas kaku
 
Pada tiap senyum kerana diri mu
Pada tiap bahagia kerana kasih mu
Pada tiap gelak kerana gurau mu
Pada tiap sendu kerana rindu itu
Pada tiap tangis kerana cinta mu
Pada tiap sepi kerana sayang mu

Pepohonan kasih ku masih teguh merimbun
Terlalu lebat dihujani bebuah rindu
Menghitung-hitung tiap rentetan waktu
Temu kan diri demi mengubat segunung rindu
Teguh kan kasih di sudut hati
Buat ayahbonda nun jauh di sudut mata.

 ® MyHeart - Mac 28, 2011.
read more

Rasa Itu Membunuh Ku...













Dalam helaian jalur-jalur merah
Yang berselirat jauh dilapis epirdemis
Ada tercatit sebuah nama
Bersama sehening kisah
Derita bersemadi mencari bahagia
Dibungkam kekelaman maya

Indah mengalun kalam
Dalam untaian tinta dusta
Siapa sangka ia mencipta refleksi rasa
Mula memagari dinding hati
Sedang ia bukan suci
Rupanya membunuh ku selang hari berganti
 
Akhirnya terbongkar jua dalam serpihan masa
Tanpa tertinggal setetes pun sisa
Bagi nya yang suka mengunyah auta
Di sepanjang leret-leret angka usia
Bangga memperbodoh memperlekeh
Biarlah sesungguhnya dendam ini tidak kan singgah!

® MyHeart - Mac 28, 2011
read more

EkoMunis Lagha...









Ya..silakan pilih silakan beli
Banyak murah jangan susah hati
Ada gerenti kalau tiada puas dihati
Wang mungkin tidak dikembali
Tapi barang akan diganti
Kasi servis kaw-kaw punya lagi
Mau miss? mau cik? Mari mari...

Tidak sepakat tidak dipersetujui
MOU unfair wujud disini!
Baru dua bulan berlalu la Inchik Tokeh
Takkan sudah naik begitu tinggi?
Berderau darah rasa macam nak marah
Enak sungguh pemegang ekomunis mencekik darah
Tanpa segan tanpa silu lagha berniaga!

Ah...apakan daya mahu bertelagah
Bukan hanya aku turut terlampias menelan rasa
Kalau mahu barang murah
Lu pigi sana laa...zaman Datuk Hang Tuah
Sekarang ulat dalam batu pun dok gelisah
Mana nak cari batu habis buat jalan raya
Korban pembangunan sini sana

Apa nak dikata barang naik harga
Meski syiling rezeki saban tahun lambat berubah
Jangan pula kau lara berduka cita sampai naik gila
Percaya pada setiap janji Allah
Insyaallah rezeki tetap ada di mana-mana
Asalkan kau rajin tak kenal lelah
Rezeki secupak akan jadi berganda-ganda.

® MyHeart - Mac 26, 2011
read more

Synchronization Gagal!...













Kabut menyapa lagi
Mencuba synchronisasi dari hati ke minda
Nyata wireless nya lemah
Bluetooth nya menggusarkan jiwa
Aduh...apa connection nya bermasalah?
Atau kondisi hard disk nya lemah?

Ah...barangkali trojan sudah lama diam menghuni
Manakan tidak AVG anti-virus edisi free
Bukan tidak berkualiti
Tapi tindak tanduk terlalu limitasi
Hingga sukar dibaca
Ini kisah tentang apa sebenarnya???

Errr....serebrum rupanya berbuat onar
Sychronization sangat-sangat tidak ngam
Ilham menari namun langkah ku kaku dipagari jeriji
Bait-bait kata termusnah disimbah blurrrr tak sudah!
Oh tolonglah....
Kemana akan ku cari ilham semanis pondok hitam!

® MyHeart - Mac 23, 2011.

Nota kaki - ketandusan idea.



read more

Getusan Bisu Suara Pujangga...













Tiada lagi yang tinggal selain melankolik nada-nada
Bersama getusan bisu suara pujangga
Tiada lagi mencorat-coret madah-madah
Melakar awan-gemawan dihujung manis pena
Yang rupanya hanya tinggalan sisa-sisa
Sarat noda dihujung lidah

Ah...Bukan baru tersangka
Hanya kau saja mendiam tuli dipangkal lara
Konon hanya bisik rasa tiada logika
Biar medula oblongata cuba ligat memutar bicara
Mahu menjustifikasi konklusi pada halusinasi maya
Siapa tahu keberuntungan milik mu jua

Lihat...itu semua hampir membuta retina
Terlalu hampir mencipta nestapa gila
Meranduk sengsara dengan sengaja
Walhal tiada apa mengundah-gulana
Biarkan ia bertik-tok megah dihujung nadinya
Suatu masa kan terjaga ia dari lena mengguris rasa.

® MyHeart - Mac 21, 2011.
read more

Siratan Awan Kelabu...













Mentari pagi itu hilang dari sorotan bayang
Kelabu dilindung kepul-kepul awan
Seolah hilang dalam terang
Tandus dalam kontang
Pada bayang mendung nan menghitam

Jerih menanti bila hujan kan datang lagi
Menyimbahi jejak-jejak kasih
Yang semakin luput dimamah hari
Tanpa secebis simpati
Meski hampir kering tasik mutiara sepi

Apalah upaya untuk meminta
Sedang denyut nadi bisa terhenti
Hanya doa tiada putus ditadah
Moga kembali jejak ceria
Menerangi kelam yang kian berbalam

Gugurkanlah titis-titis suci mu
Yang menghuni siratan awan kelabu
Jangan berdiam disitu
Menyembunyi ria sang mentari
Tanpa mahu berlabuh menghujani kekontangan ini.

 ® MyHeart - Mac 17, 2011.
read more

Bila Ibunda Menangis...









Lirih hati nya melihat kanan dan kiri
Saban hari tubuh nya dirabak tanpa simpati
Saban hari dia harus menelan racun suku sakat tanpa henti
Anak-anak cucu tidak lagi peduli
Pada tangis pada rintih yang akan memakan diri
Mereka buta kan mata pekak kan telinga
Konon mahu menggapai langit tinggi nan membiru
Yang benar kasih tinggal cuma sekerat dua

Sudah berabad dia menangis
Sedikit benar waktu untuk dia ketawa
Malah usia lanjut semacam dia tidak berdaya lagi
Melihat anak cucu lupa diri lupa janji
Dan di akhir-akhir  ini
Airmata itu terus galak membasahi
Rupanya ada tragedi mahu disampai
Ada rahsia mahu dirungkai

8.9 gempita goncangan mengegar alam
Bukan mahu menghukum warisan sendiri
Tapi dia lelah melalui hukum ketuaan ini
Bersama jeritan dia ledakkan satu muntahan
Dari lautan ke persada daratan
Ah....bagai berulang kisah kekecewaan nya
Pada keramat 24 Disember 2004
Ratusan ribu anak cucu hilang nyawa ..

Pada tiap tangisan ada pesan dia bisikkan
Duhai anak cucu jaga tingkah dan laku
Ingat pada hakikat yang pernah kau pelajari dahulu
Ekologi alam terang-terang menyatakan
Yang muda pasti tua
Yang hidup pasti mati
Bukan kah hidup ini hanya sementara?
Kenikmatan duniawi itu tiada ertinya

Justeru...bersiap siaga lah akan dirimu
Kikis debu-debu hitam pada jasmani pada rohani
Dengan simbahan tinta iman dan ilmu
Menjadi bekal kau bawa pulang ke alam sana
Aduhai ini bukan hukuman dari Ibunda
Tapi kasih yang penuh berkias
Untuk kau semat utuh dalam kantung hikmat
Tiap kali kau dengar Ibunda menangis pilu.

® MyHeart - Mac 11, 2011.

read more

Jika Hari Ini....










Jika hari ini kau lupa
Mari sini aku ingatkan
Setajam lidah semanis kata
Bukan mimpi tapi kenyataan

Jika hari ini kau ria
Jangan lupa esok mungkin duka
Kan aku pernah kata hidup seumpama roda
Bila-bila masa bertukar tip-top carta

Jika hari ini engkau marah
Mari sini aku buat lawak bodoh
Biar hilang rasa amarah
Ketawa hingga berdekah-dekah

Jika hari ini aku kau bukan kita
Jangan dendam berapi dijiwa
Maafkan halalkan segala-gala
Penawar terindah dalam setiap duka

Jika hari ini jalan mu terpesong di mana-mana
Mari sini kita segera pulang bersama-sama
Sebelum sampai tidur abadi tiada lena
Sebelum kesal hilang erti nya...

® MyHeart - Mac 10, 2011.
read more

Kita Yang Bermimpi...













Dalam kabut saujana senja
Kita renung ufuk merah di kaki langit
Bersama bisikan lesu puputan bayu
Menelanjangi sekudus kenangan yang telah lama pergi
Dalam hiruk pikuk bayangan waktu
Gelincir tanpa mahu berhenti henti

Kita masih terus memburu
Pada indah warna-warna pelangi
Sedang itu hanya imagis kala hujan membasah bumi
Menepuk sedar kekontangan alam
Dalam rekahan bilah-bilah kepingan tanah
Yang telah lama rindu deraian airmata awan lara

Kita yang bermimpi
Hampir kelam dihujung sinar ufuk senja
Sedang waktu terus merangkak kelabu
Menyeru matikan mimpi sekadar itu
Memburu haqiqi titik waktu
Sebelum termanggu selama-lama menatap langit biru.

® MyHeart - Mac 8, 2011.
read more

Angka Angka Tanpa Kalimat..










Sebelum menjelma
Telah siaga terlakar di jiwa
Tiada lupa tiada duka hanya ria
Melihat seri indah purnama
Oh hampir genap sudah menggapai usia
Laksana mimpi si kunang-kunang menjadi nyata

Yang dicinta lebih mengerti
Yang disayang lebih sedari
Apa diharap tiada selalu akan menjadi
Kita insani punya segala kekurangan diri
Atau sememang hanya alasan ditokok diberi
Kerna semata mahu mengabui

Sedang hakikat telah lama jadi keramat
Bagai tugu hanya utuh teguh terpahat
Sedang ingatan kabur-kabur dalam munajat
Tertinggal lah angka tanpa kalimat
Menjadi angka-angka yang hilang semangat
Tiada lagi berbekas dalam kudrat

Hari ini setitik mutiara tiada bererti
Hari ini secebis luka tiada sedari
Lalu apa kan jadi pada hari yang berganti
Teguh kah lafaz cuma kerana simpati?
Dan berapa lama sebelum luluh rasa dihati?
Jari-jari mula membilang hari.......

® MyHeart - Mac 7, 2011.
read more

Maafkan Aku...











Ku coret kan kata tak seindah bahasa
Tidak terniat mencemar pusaka ibunda
Cuma kehilangan keajaiban idea
Buat disampai pada yang mengerti
Apa tersirat di dalam hati
Apa tertulis dalam puisi

Indah di mata bukan di hati
Harus kau kenali semahu pasti
Usah kau buat konklusi sendiri
Mulia nya buku dengan perincian isi
Bukan dianalisa muka hadapan
Harap kan cantik tapi busuk memualkan

Tiada ku pinta harap percaya
Mulia insan bukan kerna tutur kata
Kerna hati nan bersih bak awan memutih
Aku percaya kau mengerti
Tiap alasan punya ketersiratan
Demi melindung secebis kemashlahatan

Aku bukan diktator durjana
Memaksa wajib terima tiap lontaran kata-kata
Hanya semata insan biasa lemah adat nya
Maaf kan aku andai pernah mengguris rasa
Pada bicara pada laku yang tak terjaga
Kekhilafan ku kerana aku insan tidak sempurna.

® MyHeart - Mac 5, 2011.
read more

Pondok Hitam Di Pinggiran Lautan Kasih..









Duhai pondok
Diribaan mu aku pernah bersimpuh
Mencoret angan dalam pintalan
Benang-benang maya kasih
Ku jadikan lembaran warkah agung
Buat tatapan kalbu insan ku puja
Biar terbit di dada-dada kaca
Bersama wangian kuntum-kuntum mawar ungu

Ungkapan manis menyelak rasa satu persatu
Usahkan hidup mahu bersama
Malah mati pun ingin dalam liang yang sama
Camar-camar bagai ketawa sayang
Saat mendengar lafaz janji yang bukan-bukan
Manis nya cengkerama kita
Lewat mentari di anjung senja
Di kunjung bulan bersama bintang berjuta

Panahan asmara menujah-nujah di dinding jiwa
Hampir saja kita karam di pinggir lautan kasih
Dalam teduhan pondok yang semakin menghitam
Dek kerna mentari kian ditelan ufuk senja
Hebatnya cinta mu wahai sang arjuna
Aku terbuai bukan kerna paras rupa
Juga bukan kerna harta nan melimpah-ruah
Tapi kerna kasih yang membelai jiwa..

Tiada cinta yang sepi dibadai gelisah
Saat itu betapa aku tak ingin
Melihat mu pergi tanpa rela di hati
Meninggalkan kenangan terindah tika berdua
Di pondok hitam pinggiran laut tenang
Namun apa daya sayang
Kita tidak memegang tangkai taqdir
Patah tumbuh tapi hilang tidak berganti

Mungkin kau satu dalam berjuta
Tiada serupa meski akan ada sama
Aku akan terus setia
Bersimpuh kasih memintal benang-benang doa
Untuk sejahtera dan bahagia
Jika nadi mu berdenyut ria
Untuk damai dan tenang
Jika nafas mu telah menghilang

Kerana aku kabur mencari berita
Diselubung kabus tak berpenyudah
Dihimpit persoalan tiada jawaban
Aku tandus kehilangan kata-kata
Aku tangis dalam gelak dan tawa
Terus mencari
Terus bertanya
Ke mana kah hilang arjuna yang ku puja..

® MyHeart - Mac 2, 2011. 
read more

Wajah Wajah Ria Dunia...










Ada irama lebih gemersik
Ada bunyi lebih puitis
Ada aksi lebih romantis
Ada senda loka lebih komedi
Tanpa CD tanpa MP3
DVD atau MP4
Bisa terdengar di mana-mana
Sebijik autoplayer
Sofistikated ciptaan Tuhan

Anugerah tiada tara
Pada insaniah seantero wahana
Sebagai seri warna warni dunia
Tika perang membadai
Tika teriakan demonstrasi
Tika tangisan tsunami
Tika gempita gegaran bumi
Tika sebutir nasi jadi rebutan
Tika bah tiada terduga
Tika terik mentari berbahang
Wajah-wajah itu tetap bercahaya
Menjadi sinar pengubat lara
Penyeri ria gembira
Penerang gelap gelita

Wajah wajah ria dunia
Masih indah
Masih sempurna
Suci dari naungan dosa
Tiada mengerti
Lorong lorong jalan kehidupan
Hanya tangis dan tawa
Marah dan rajuk
Wacana emosi
Untuk difahami
Untuk disayangi.

® MyHeart - Mac 1, 2011.
read more